Ahad, 2 September 2012

TUDING 4 JARI PADA DIRI SENDIRI


PUNCA MASALAH RUMAH TANGGA

Isu keganasan rumah tangga menjadi tajuk yang paling hangat setiap tahun untuk dibincangkan malah banyak kes penceraian yang difailkan di mahkamah syariah melibatkan keganasan yang berlaku dalam sesebuah rumah tangga. Amerika Syarikat mencatatkan peningkatan kes penceraian dari tahun ke tahun. Tidak kurang hebatnya dengan Malaysia yang setiap hari boleh dilihat di dada-dada akhbar berkaitan isu keganasan dan penceraian rumah tangga. Keadaan menjadi lebih parah apabila isu-isu sebegini mampu mengundang jenayah lain sehingga membawa kematian atau kecederaan kepada mangsa keganasan rumah ttangga sama ada isteri, suami mahupun anak-anak. Kebanyakan kes yang dirujuk kepada pihak polis dan mahkamah menunjukkan bahawa keganasan rumah tangga berlaku pada isteri yang menjadi mangsa kepada suami sendiri. Terdapat beberapa punca yang berjaya dirungkai yang menjadi tunjang kepada isu ini.


Salah satu daripadanya adalah kerana kurangnya sikap tolak ansur antara suami dan isteri. Ego yang tinggi kadang-kala membawa musibah sama ada kepada kedua-dua belah pihak ataupun kepada sebelah pihak sahaja. Sikap sukar menerima pendapat atau kata-kata orang lain juga merupakan salah satu contoh kurangnya sikap tolak ansur. Apabila berlaku pergaduhan ataupun perselisihan faham antara suami isteri disertai dengan sikap bertolak ansur yang cetek kadang-kala masalayang sebesar zarah berpotensi menjadi sebesar perang dunia ke-2. Jika salah satu pihak tidak mahu mengalah dan tetap dengan pendirian masing-masing, sudah tentu batu bertemu batu akan menghasilkan percikan api yang lama-kelamaan mampu menjadi panas dan membakar diri. Justeru, sudah jelaslah bahawa toleransi yang kurang menjadi salah satu faktor wujudnya keganasan dalam rumah tangga.


Selain itu, perasaan cinta dan kasih sayang yang tidak diperbaharui sentiasa turut menjadi faktor penyumbang isu keganasan dalam rumah tangga.
Tidak semstinya pasangan yang bercinta dalam tempoh yang lama sebelum mendirikan perkahwinan turut akan mengalami perasaan cinta yang sama setelah mendirikan rumah tangga dan berkeluarga. Malah, ada juga yang mengatakan bahawa pasangan akan mudah menjadi jemu dengan pasangan sendiri jika cinta dan kasih sayang yang dahulunya mekar kembali hambar. Hal ini akan mewujudkan masalah yang lain terutama terhadap emosi suami mahupun isteri. Fitrah manusia yang sering berasa jemu jika melalui perkara yang sama setiap hari tanpa melakukan pembaharuan. Oleh hal yang demikian, tidak hairanlah suami atau isteri sanggup selingkuh dalam perhubungan malahan mendera dan menyeksa pasangan masing-masing jika rasa cinta dan sayang sudah tiada.


Di samping itu, keganasan rumah tangga berisiko wujud jika pasangan berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol. Sering kali yang kita dengar isteri menjadi mangsa penderaan fizikal dan seksual kepada suami yang suaminya boleh dikategorikan sebagai zalim. Pengambilan dadah ataupun alkohol boleh mendominasi kewarasan akal fikiran manusia sehingga individu akan berada di bawah sedar. Segala perlakuan dan perbuatan berbentuk keganasan yang dilakukan suami dalam keadaan minda bawah sedar adalah diklasifikasikan sebagai perbuatan yang berlaku tanpa disengajakan. Jika dipandang dari sudut agama, seseorang yang sudah terpedaya dengan pengaruh dadah atau alkohol maka syaitan dengan mudah menghasut anak Adam tersebut untuk melakukan perbuatan jenayah lain termasuklah mencederakan isteri mahupun darah daging sendiri.


Faktor lain ialah pasangan kurang didikan agama sebelum dan semasa melayari bahtera perkahwinan. Aspek keislaman yang menjadi tunjang dalam mendirikan rumah tangga bahagia sudah dipinggirkan malah jarang sekali dibudayakan oleh masyarakat Islam hari ini. Ilmu mengenai sunnah-sunnah rasul yang sepatutnya dicontohi dan diamalkan oleh pasangan yang sudah berkahwin juga kurang diadaptasi dalam kehidupan berumah tangga. Layanan yang kurang mesra antara pasangan amatlah tidak digalakkan dalam agama Islam namun ramai golongan suami dan isteri yang tidak mengetahuinya, malah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud ; "Sesungguhnya orang yang paling baik antara kamu semua adalah orang yang paling baik terhadap isterinya dan akulah orang yang terbaik antara kamu semua (dalam membuat kebaikan) terhadap isteriku '', hadis riwayat al-Tarmizi, juga kurang diberi penekanan oleh setiap pasangan berumah tangga. Begitu indahnya Islam yang mengajar manusia dari semua aspek kehidupan termasuklah dalam berumah tangganamun kita pada hari ini mengabaikan ilmu agama dan kesan buruk daripada pengabaian tersebut memakan diri kita sendiri. Sudah terang lagi bersuluh bahawa pasangan yang cetek ilmu agama menjadi penyumbang berlakunya keganasan dalam rumah tangga.


Secara tuntasnya, toleransi, perasaan cinta dan kasih sayang serta ilmu agama adalah perkara yang selari dan mesti dititkberatkan dalam membina keluarga bahagia di samping mengatasi masalah keganasan dalam rumah tangga sekali gus mengetepikan faktor yang mendorong berlakunya jenayah dalam rumah tangga masyarakat dewasa ini. Kajian menunjukkan bahawa ucapan cinta sekali sehari mampu memanjangkan usia berikutan ucapan cinta yang dilafazkan akan membuatkan diri orang yang mendengarnya rasa disayangi dan dihargai lantas membuahkan seribu kebahagiaan. Rasa gembira dan bahagia pula akan membuatkan seseorang ingin terus hidup bagi menikmati kebahagiaan tersebut.



-CONTOH KARANGAN SPM
-PUNCA KEGANASAN RUMAH TANGGA
- 78/100 belum lagi mencapai 90++


P/S : disediakan oleh NHS setelah selesai ditanda dan diubahsuai beberapa potongan ayatnya. HARAM diciplak tetapi HARUS untuk dijadikan rujukan. Dengan niat untuk berkongsi ilmu. Semoga Tuhan merahmati cikgu yang sentiasa memberi inspirasi untuk aku terus menulis. Sumber daripada surat akhbar HARIAN METRO.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan